Wednesday, August 10, 2011

Awas penggodam laman sosial !

KUALA LUMPUR: Individu atau peminat yang didapati bersalah menggodam laman sosial artis, walaupun untuk suka-suka, boleh dikenakan hukuman dan denda berat.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berkata, kes penyamaran identiti antara kesalahan serius dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang, termasuk Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menerusi akta berkenaan, penyamar bakal berdepan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau ketika dihubungi berkata, kebanyakan orang tidak tahu, perbuatan penyamaran dan pencurian identiti adalah satu kesalahan, malah boleh dikenakan tindakan mengikut akta sedia ada.

“Kita menggalakkan individu yang menjadi mangsa mengambil tindakan dengan membuat laporan polis, bukan semata-mata mendiamkan diri.

“Mangsa dinasihatkan membawa sekali bukti ketika membuat laporan polis iaitu maklumat Facebook yang dicetak.


“Kebanyakan penyamar dan pencuri ini sebenarnya mempunyai agenda sendiri. Kita tidak menafikan ada yang cuba menyebar fitnah dan tohmahan, termasuk mengenai institusi diraja serta kerajaan memimpin,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada golongan artis berhubung kes kecurian identiti di laman sosial berkenaan.

Katanya, penyamar identiti turut berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 apabila menyebarkan hasutan mengenai institusi diraja atau kerajaan iaitu denda kesalahan pertama RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Bagi ancaman ugutan pula, individu terbabit akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

0 jejari komen: